Soalan Lazim APEL.C

Apakah perbezaan antara APEL yang dilancarkan sebelum ini dengan APEL.C?

APEL yang dilancarkan sebelum ini adalah untuk tujuan kemasukan ke PPT iaitu dikenali sebagai APEL (Access). APEL.C atau APEL (Credit) pula adalah untuk tujuan mendapatkan pindahan kredit.

Melalui pelaksanaan APEL.A dan APEL.C, individu yang mempunyai pengalaman yang luas bukan sahaja boleh masuk ke program di PPT tetapi juga boleh menggunakan pengalamannya untuk mendapatkan pindah kredit bagi kursus tertentu dalam program pengajian. Justeru itu, pelajar dapat melengkapkan pengajiannya dalam tempoh yang lebih singkat.

Bagi tujuan permohonan penilaian APEL.C, seseorang itu mesti berstatus pelajar (telah berdaftar dalam program pengajian di PPT).

2.
Bilakah APEL.C mula dilaksanakan?
APEL.C mula dilaksanakan pada September 2016.
3.
Siapakah yang akan melaksanakan pnenilaian APEL.C terhadap pelajar?
APEL.C akan dilaksanakan sendiri oleh PPT terhadap pelajarnya dengan syarat PPT tersebut telah mendapat kelulusan untuk mengendalikan APEL.C daripada MQA. Bagi menjamin kualiti penilaian, PPT perlu melaksanakan APEL.C dengan bertunjangkan Garis Panduan Amalan Baik: APEL.C terbitan MQA yang merangkumi dasar pengendalian APEL.C dan panduan pembinaan instrumen penilaian.
4.
Adakah ditetapkan had umur untuk memohon APEL.C?
Tiada. APEL.C tidak seperti APEL.A yang menetapkan had umur tertentu bagi setiap tahap pengajian.
5.
Apakah APEL.C hanya terhad kepada warganegara dan pelajar yang melalui laluan APEL.A?
Tidak. APEL.C terbuka kepada semua pelajar di PPT yang telah mendapat kelulusan menjalankan APEL.C, sama ada berstatus warganegara atau pelajar antarabangsa. APEL.C juga terbuka kepada semua pelajar tidak kira kaedah kemasukan ke program pengajian, sama ada melalui laluan APEL.A atau konvensional.
6.
Adakah pelajar yang memohon APEL.C perlu menduduki peperiksaan untuk mendapatkan pindahan kredit?
Pelajar yang memohon APEL.C kepada PPT akan dinilai tetapi bagaimana bentuk penilaian adalah bergantung kepada kesesuaian bidang. Ia tidak semestinya peperiksaan. Kaedah penilaian boleh dalam bentuk demonstrasi, temu duga penilaian portfolio dan sebagainya.
7.
Berapakah jumlah pindah kredit maksimum yang dibenarkan di bawah APEL.C dan bolehkah seseorang pelajar memperoleh kedua-dua pindah kredit APEL.C dan pembelajaran formal?
Pindah kredit maksimum di bawah APEL.C adalah 30%. Bagi pelajar yang mempunyai kelayakan formal dan pengalaman, mereka boleh memperoleh kedua-dua pindah kredit APEL.C dan pembelajaran formal. Contohnya, pelajar yang mempunyai Diploma dan pengalaman kerja, boleh mendapat pindah kredit maksimum 30% [APEL.C] dan 30% (pembelajaran formal) untuk kemasukan ke Sarjana Muda.
8.
Bagaimanakah MQA akan memastikan semua pihak yang berkaitan melaksanakan APEL.C dengan betul?

Pertamanya bagi memastikan PPT mampu melaksanakan APEL.C dengan baik, hanya PPT yang telah lulus penilaian MQA sahaja dibenarkan untuk menjalankan APEL.C.

Skop penilaian MQA terhadap kemampuan pelaksanaan APEL.C oleh PPT merangkumi dua aspek utama iaitu sistem pengurusan dan kemudahan di PPT serta keupayaan PPT dalam membina dan mengaplikasikan instrumen penilaian APEL.C.

Keduanya MQA akan memantau pelaksanaan APEL.C di PPT semasa lawatan akreditasi dan audit institusi.

9.
Bolehkah kolej, kampus cawangan atau anak syarikat di bawah sesuatu PPT induk mengguna pakai kelulusan penilaian APEL.C yang telah diperoleh oleh PPT induk?

Tidak boleh. Setiap institusi perlu memohon APEL.C secara berasingan kepada MQA kerana ia mempunyai Senat masing-masing dalam membuat keputusan berkaitan akademik.